21.1.09

Latihan Menulis Aku....



20Jan2009 / Tengahari Jam 12.30pm...


Tamat Studio 2D, aku bingkas menghayun langkah melepasi Dataran Bintang yang dipenuhi manusia-manusia dengan arah tujuan masing-masing. Seperti sibuk dan bingitnya hiruk pikuk kota, seperti itu juga di sepanjang susur dataran sekitar Pusat Seni dan Dewan Budaya USM hari ini. Hati tertanya dari manakah munculnya begitu ramai manusia tengah-tengah hari rembang ini? Lalu langkah terus ku hayun pantas, kerana aku bencikan istilah ''itik pulang petang''... Hehee...terkedek..kedek...

Kelihatan manusia mengerumuni sebuah lori Pembekal Nescafe secara percuma di satu sudut, seolah semut mengerumuni gula. Lantas, seperti ada tarikkan magnet..langkah ini terdorong dengan sendiri untuk turut berusaha keras bagi mendapatkan secawan nescafe dingin di bawah bahang mentari yang mungkin mencecah lebih 30Darjah.. Mungkin...

Air digenggaman ku hirup rakus menerobosi tekak, kenyamanan menjalar keseluruh anggota. Seperti ditambah tenaga, aku meneruskan langkah. Kini lebih kemas dan tenang dari tadi yang tercungap-cungap keletihan. Aku melintasi jalan kecil membelah Bangunan Ilmu Kemanusiaan yang tesergam. Pemandangan lima enam orang kontraktor warga asing sedang bersantai di sebalik zink pengadang sedikit mengganggu tumpuan. Aku perlu berjalan lebih laju kerana ketidakselesaan yang menyelinap di hati. Ya..amat perlu..

Jalan Cahaya Gemilang menyambut mesra, rimbunan subur pepohon menyejukkan pandangan walau pun baru sahaja aku melepasi lorong gerun yang mengacau jiwa tadi. Aku menarik dalam-dalam lafaz lega. Ini adalah perjalanan terakhir ku, dan jalan terakhir yang perlu aku lintasi. Hati-hati ya...

Haihh...penat.. libasan angin menampar anggota badan dari pecutan kereta yang melalui Jalan CG sedari 2 minit tadi. Membuatkan aku berasa perlu untuk berhenti di samping jalan mencari ruang untuk melintas. Aku bukan tidak faham fungsi belang-belang atas jalan tu tapi aku tak pernah percayakan teori yang orang akan beri laluan untuk kita melintas dengan selamat di Lintasan Zibra tu. Neverr..

Masalahnya, hari ini keajaiban perlaku bila secara tiba-tiba sebuah Gen2 berhenti lalu memberi isyarat tangan untuk aku melintas dihadapannya. Wah! dan keajaiban kedua is kereta dari sebelah kiri turut menyalakan lampu merahnya untuk memberi laluan. Aku bingkas melintas dengan janggal dan buat-buat sopan. Hehee...

Tersenyum aku sendiri setelah mengalami situasi beberapa saat tadi. Suasana hangat yang meratah kulit rupanya mengandungi hikmah. Aku disiniskan dengan situasi...

Terdetik di hati...

Mengapa perlu berfikiran negatif dan berpegang pada tanggapan buruk pada setiap orang? Apakah manusia layak menghukum dan membela sesedap rasa?

2 comments:

Ridhuan said...

ayat macam novel.. best gak baca.. amik literature ke?

Youjie said...

Kamu buat saya membaca sekali lagi sebelum menerima pujian itu..( puji ker! WiNk~ ) Ya..budak sastera nih!