Hye!!! Ni penulisan yang dipetik.....bagi menjelaskan TEORI RAHMAN...
Mungkin ramai yang tidak tahu bilakah teori R.A.H.M.A.N mula dicetuskan. Apabila Pak Lah mengumumkan untuk tidak bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan Mac depan dan berhasrat untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri sambil memberi sokongan kepada penggantinya Najib, saya berasa terpanggil untuk berkongsi sejarah teori ini kepada pembaca blog.
Saya percaya ramai yang tahu akan maksud teori tersebut tetapi tidak ramai yang tahu bilakah teori itu mula tercetus dan sebab-sebabnya.
Teori ini mula digembar-gemburkan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO pada 24 April 1987. Dalam perhimpunan Agung UMNO itu Tun Dr Mahathir ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Tengku pula mendapat sokongan daripada Musa Hitam dan ramai menteri kabinet yang lain. Malahan bekas pelajar universiti turut digerakkan untuk membantu kempen Tengku Razaleigh.
KesannyaTengku Razaleigh benar-benar memberi persaingan kepada Dr Mahathir dalam pertandingan jawatan nombor satu tersebut.
Dalam kesibukan berkempen dan melobi dalam perhimpunan agung UMNO itu timbullah suara-suara di kalangan perwakilan bahawa baik Tengku Razaleigh atau pun Musa Hitam, mereka tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ini semacam satu takdir yang ditetapkan untuk mereka berdua.
Sebahagiannya pula menganggap pertandingan melawan Dr Mahathir itu sia-sia sahaja. Alasan mereka ialah nama Razaleigh dan Musa tidak termasuk dalam susunan nama R.A.H.M.A.N itu. Maka bermula dari situlah bermulanya Teori R.A.H.M.A.N.
Cerita yang berlaku dalam perhimpunan agung UMNO itu dan istilah Teori R.A.H.M.A.N itu telah ditulis buat pertama kalinya oleh Abd Bashid Harun dan tersiar dalam akhbar tabloid, Mingguan Tanahair pada tahun 1987 (bulan dan tarikh sudah terlupa).Dalam tulisan itu penulis telah memberi huraian secara terperinci tentang maksud teori R.A.H.M.A.N.
Malahan dalam tulisan itu juga dikupas agak mendalam tentang kedudukan Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim sebagai bakal PM. Kupasan itu dibuat berdasarkan huruf A yang kelima dalam teori itu.
Dalam kupasannya, yang kemudian diulas oleh lidah pengarang akhbar tersebut yang memetiknya sebagai “Penulis Dari Semanggol”, Abd Bashid memaklumkan bahawa hanya ada seorang sahaja dari Pulau Pinang yang akan berjaya menjadi Perdana Menteri. Orang itu ialah Pak Lah.
Alasan penulis berdasarkan latar belakang agama, keluarga dan pendidikan yang ada pada Pak Lah berbanding Anwar. Menurut penulis teori tersebut, walaupun Anwar selalu berkhutbah dan menggunakan istilah-istilah Arab dalam kebanyakan ucapannya ketika itu, namun Pak Lah lebih merendah diri dalam hal ini walaupun diketahui yang beliau lahir dalam keluarga ulama’ dan beliau sendiri adalah lulusan aliran agama dengan kelulusan Pengajian Islam dari U.Malaya.
Malahan dalam menyokong teorinya penulis memberitahu bahawa jika Anwar ghairah untuk menjadi PM dan terlalu dipengaruhi oleh penyokong-penyokongnya, Anwar akan jatuh dan Pak Lah yang lebih bersih, merendah diri dan memang berlatar belakangkan agama akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.
Untuk N pula beliau tidak berbelah bahagi meramalkan Najib akan menjadi Perdana Menteri yang keenam.
Penulis pernah memaklumkan bahawa beliaulah yang pertama sekali menuliskan teori ini kepada sdr Musomar atau Mustafa Omar yang bertugas di akhbar Berita Harian. Dan reaksinya sdr Musomar memberitahu penulis tunggulah apabila Najib jadi PM. Apabila Najib jadi PM barulah teori itu dapat disahkan kebenarannya, kata sdr Musomar.
- Hakcipta Abd Bashid Harun
No comments:
Post a Comment